edup3023 (perkembangan kanak-kanak)

PENYESUAIAN PRINSIP PERKEMBANGAN DENGAN TEORI-TEORI PEMBELAJARAN

Perkembangan dan pertumbuhan manusia bermula dari peringkat bayi sehingga kematian. Pertumbuhan dan perkembangan merupakan dua proses yang penting kepada individu. Kelakuan manusia dari setiap peringkat adalah sangat berbeza apabila mereka telah mencapai peringkat dewasa. Manusia telah dikaji sejak bayi lagi iaitu ketika di dalam kandungan. Kita dapat lihat pergerakan manusia bermula dari rahim ibu yang kemudiannya dilahirkan menjadi bayi dan kemudiannya membesar menjadi kanak-kanak. Apabila mengalami proses kematangan, mereka akan memasuki alam remaja yang banyak menimbulkan perbezaan dari aspek mental dan fizikal dan seterusnya menjadi seorang yang lebih dewasa. Peringkat terakhir dalam kitaran hidup manusia ialah kematian yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

Menurut Santrock (2014), perkembangan ialah perubahan tubuh badan yang bersifat kualitatif. Bagi Wong Kiet Wah et al. (2013), perkembangan melibatkan proses perubahan kualitatif dalam diri individu yang dapat diperhatikan tetapi sukar ditentukan dari satu tahap ke tahap yang lain seperti penguasaan kemahiran berfikir atau penguasaan kemahiran bersosial seorang kanak-kanak. Secara asasnya, konsep perkembangan ialah suatu perubahan kualitatif yang boleh diperhatikan berlaku terhadap kanak-kanak. Contohnya, perubahan dalam penggunaan kata-kata atau bahasa dan penguasaan perbendaharaan kata yang bertambah dari masa ke masa akibat faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia, iaitu kematangan, latihan dan pembelajaran.

Perubahan fizikal, kognitif dan emosi yang berlaku kepada kanak-kanak melibatkan proses pertumbuhan dan juga perkembangan kanak-kanak yang berlaku berdasarkan prinsip-prinsip asas tertentu. Antara prinsip yang terlibat ialah, susun atur perkembangan adalah sama. Prinsip ini merujuk kepada corak perkembangan bayi dan kanak-kanak berlangsung daripada yang umum kepada yang khusus. Misalnya, sebelum berjalan lazimnya seorang kanak-kanak akan berdiri terlebih dahulu dan corak ini tidak akan berubah untuk semua kanak-kanak di seluruh dunia. Prinsip ini selaras dengan teori tugas yang diungkapkan oleh Robert Havighurst. Robert Havighurst telah memperkenalkan perkembangan tugas-tugas atau fungsi-fungsi yang lahir pada satu masa kehidupan seseorang. Contohya tugas-tugas perkembangan adalah seperti berjalan, berlari, dan dapat membezakan apa yang betul da salah.  Havighurst juga menyatakan bahawa kegagalan dalam mencapai tugas perkembangan yang awal akan menjejaskan tugas-tugas perkembangan yang berikutnya. Pendapat Havighurst berketepatan dengan prinsip  susun atur perkembangan adalah sama kerana seseorang individu tidak akan dapat melakukan sesuatu pergerakan yang lebih spesifik sekiranya mereka tidak memulakan pergerakan yang umum terlebih dahulu. Sebagai contoh, kanak-kanak tidak akan dapat menggunakan jari-jari tangan mereka sekiranya mereka tidak boleh menggenggam sesuatu objek menggunakan tangan terlebih dahulu.

Prinsip yang seterusnya ialah kadar kecepatan perkembangan berbeza-beza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain, serta prinsip corak perkembangan berbeza. Kedua-dua prinsip ini dapat dikaitkan dengan teori perkembangan kognitif Vygotsky. Lev Vygotsky berpendirian bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak bergantung kepada interaksinya dengan orang-orang yang berkepentingan dalam persekitaran budayanya dan tidak mungkin difahami sepenuhnya jika tidak dikaji bersama. Perkembangan kognitif kanak-kanak dibentuk melalui interaksi sosial dengan ahli keluarga, komuniti dan masyarakat di sekitarnya. Bahasa merupakan sistem simbol yang paling penting dalam menyokong perkembangan kognitif kanak-kanak. Berdasarkan prinsip perkembangan, dapat dinyatakan bahawa corak dan susun atur perkembangan adalah sama namun pada kadar yang berbeza. Misalnya, dalam penggunaan bahasa kanak-kanak yang sering berbincang tentang sesuatu perkara dengan orang dewasa cenderung untuk menyebatikan cara-cara bertutur dan persepsi orang dewasa tersebut dalam perbualan seharian mereka.

Selanjutnya ialah prinsip perkembangan yang berterusan. Berdasarkan prinsip ini, perkembangan diri individu berlaku secara berterusan bermula dari peringkat persenyawaan sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, setiap yang berlaku pada sesuatu peringkat akan mempengaruhi peringkat yang lain. Menurut Faridah et al. (2014), kanak-kanak membina pengetahuan dan kemahiran baharu berdasarkan pengalaman yang lepas. Prinsip ini dapat dikaitkan dengan teori pembelajaran oleh Jean Piaget. Teori pembelajaran yang dikemukan oleh Jean Piaget adalah berlandaskan premis bahawa setiap kanak-kanak umpama saintis yang sentiasa aktif meneroka dunianya untuk mencapai kefahaman. Dalam teori pembelajaran Piaget empat konsep utama yang dicadangkan ialah skema, asimilasi, akomodasi dan ekuilibrasi. Skema merujuk kepada struktur asas yang mewakili pengetahuan mental seseorang. Selain itu, asimilasi ialah proses kognitif iaitu individu mengintegrasi maklumat atau pengalaman baharu ke dalam skema yang sedia ada. Seterusnya ialah akomodasi, iaitu pengubahsuaian skema sedia ada untuk menerima maklumat baharu atau membentuk skema baharu untuk menerima maklumat baharu. Akhir sekali, ialah ekuilibrasi atau keseimbangan antara asimilasi dan akomodasi menentukan interaksi individu dengan persekitaran untuk memahaminya. Berdasarkan konsep-konsep pembelajaran yang dikemukakan oleh Piaget dapat kita lihat bahawa perkembangan sememangnya satu proses yang berlaku secara berterusan iaitu individu akan membina dan mengumpul pengetahuan yang diperoleh dan dialami sepanjang kehidupan secara beransur-ansur bermula dari peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga lanjut usia.

Tambahan pula, ialah prinsip perkembangan berlaku secara berperingkat-peringkat. Perkembangan kehidupan manusia adalah berperingkat-peringkat dan setiap peringkat dapat dibezakan melalui sifat yang jelas. Sifat dan keadaan individu bagi setiap peringkat itu memberikan satu rupa bentuk unik dalam perkembangan manusia. Santrock (2014), menjelaskan bahawa terdapat lima peringkat perkembangan kanak-kanak, iaitu peringkat prenatal, peringkat bayi, peringkat awal kanak-kanak, peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak serta peringkat remaja. Berdasarkan teori perkembangan sosioemosi Erik Erikson.Teori ini menekankan hubungan sosial antara kanak-kanak dengan individu-individu yang berada di persekitaran mereka dalam masa yang sama teori ini juga mencadangkan bahawa individu perlu berhadapan dengan kriteria perkembangan setiap peringkat. Setiap peringkat perkembagan mempunyai matlamat untuk dicapai. Erikson menyarankan lapan peringkat perkembangan manusia di sepanjang hayat. Setiap peringkat dipengaruhi oleh dua faktor yang bertentangan iaitu daripada layanan dan pengalaman yang diterima oleh seseorang dan kejayaan di dalam sesuatu peringkat membolehkan seseorang itu mencapai kejayaan di dalam peringkat berikutnya.

Proses perkembangan sebenarnya dipengaruhi oleh dua faktor iaitu faktor genetik dan juga faktor persekitaran. Ahli psikologi berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunyai kadar perkembangan yang sama dan kedua faktor tersebut merupakan penyebab utama ketidaksamaan kadar perkembangan seseorang individu. Faktor genetik merujuk kepada ciri-ciri biologi atau gen-gen yang diturunkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Menurut teori Tret Biologikal, yang dipelopori oleh Hans Eysenck berpendapat bahawa faktor genetik lebih penting berbanding faktor persekitaran dalam pembentukan personality seseorang. Eysenck menyatakan perbezaan dalam kefungsian sistem saraf antara individu menyebabkan perbezaan dalam aras kebangkitan fisiologi dan aras sensitif terhadap tekanan hidup serta rangsangan-rangsangan persekitaran yang lain. Contohnya, seorang ekstrovert dikatakan mempunyai sistem saraf yang kuat manakala seorang introvert pula lebih suka menjelajah dunia dalam dirinya sendiri.

Faktor persekitaran ialah keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Penyediaan persekitaran yang sihat dan harmoni dapat mengembangkan keupayaan potensi fizikal, kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak pada tahap maksimum. Berdasarkan teori kognitif Vygotsky, perkembangan kognitif kanak-kanak bergantung kepada interaksinya dengan orang-orang berkepentingan dalam persekitaran budayanya. Dalam erti kata lain, perkembangan kognitif kanak-kanak dibentuk melalui interaksi sosial dengan ahli keluarga, komuniti dan masyarakat di sekitarnya. Faktor persekitaran yang terlibat dalam teori ini ialah faktor persekitaran sosial. Mengikut teori ekologi Bronfenbrenner terdapat lima persekitaran yang mempengaruhi perkembangan individu antaranya ialah mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem.

Sebagai kesimpulannya, setiap manusia akan mengalami perubahan perkembangan dari aspek fizikal, kognitif, sosial dan emosi. Peringkat-peringkat perkembangan membawa perubahan yang menuju ke arah tertentu serta dapat dijangkakan. Perkembangan dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Baka menentukan had perkembangan manakala persekitaran akan membantu individu mencapai tahap perkembangan yang maksimum. Perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak sememangnya harus diberi tumpuan utama kerana kanak-kanak merupakan insan yang mudah menerima dan menginterpretasikan sesuatu perkara dengan cepat. Oleh itu, peranan ibu bapa dalam mendidik dan melatih anak-anak mereka untuk menjalani gaya hidup yang sihat amatlah dititikberatkan.


 

1.0          RUJUKAN

BUKU

Jas Laile Suzana Jaafar. (2002). Psikologi Kanak-Kanak & Remaja. Kuala Lumpur:             Dewan Bahasa dan Pustaka        

Kamarulzaman Kamaruddin. (2009). Psikologi Perkembangan. Perak: Universiti Pendidikan        Sultan Idris

Mohamad Daud Hamzah. (1994). Perkembangan Kanak-Kanak Dan Pembelajaran. Kuala          Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd

Mohd Salleh Lebar. (1994). Asas Psikologi Perkembangan. Kuala Lumpur: Utusan           Publications & Distributors Sdn Bhd

Reni Akhbar Hawadi. (2006). Psikologi Perkembangan Anak Mengenal Sifat, Bakat dan Kemampuan Anak. Selangor: Synergi Media

Wong Kiet Wah, Mohamad Isa Azis, dan Rafidah Ruhani. (2013). Perkembangan Kanak-            Kanak Edisi Kedua. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd

INTERNET

Farahiyah Razali. (2011). Konsep Dan Prinsip Perkembangan Kanak-Kanak. Dimuat       turun pada 3 Ogos 2019 daripada laman web http://notapismpks.blogspot.com

Mohd Zahran Mohd Halil. (2010). Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak. Dimuat turun pada        3 Ogos 2019 daripada laman web http://zackzahran.blogspot.com

Nur Afifah Azizan. (2016). Nota Perkembangan Kanak-Kanak. Dimuat turun pada 3 Ogos            2019             daripada laman web http://noorafifahazizan.blogspot.com

 

 Nota Kaki: Maaf kalau ada sebarang kesalahan ejaan. Jangan lupa komen untuk tujuan penambahbaikan. :)

Comments

Post a Comment